Saturday, September 18, 2010

Salam Aidilfitri 1431/2010

Kejam celik, kejam celik dah hampir setahun blog ini tidak dikemaskini. Terasa janggal juga memblog semula bila dah lama ditinggalkan. Tapi jaringan sosial seperti facebook dan twitter lebih sesuai untuk 'soundbites' daripada catatan lamunan, renungan dan perkara-perkara yang dirasakan lebih berat dan serius.

Lantas, digamit semula untuk berkongsi pengalaman dan pandangan dengan siapa jua yang sudi membaca. Sementelah dua belas bulan merupakan masa yang terlalu lama untuk berdiam diri, menjadi pemerhati dan pengguna biasa bahan-bahan multimedia di ruang siber.

Dah banyak kali air bah, dan banyak kali pantai berubah dalam setahun yang telah berlalu. Penulis-penulis blog baru muncul menggantikan mereka yang tidak lagi aktif atau yang telah pergi buat selamanya. Penulis-penulis lama pula menyerlahkan peningkatan dari segi kualiti analisis situasi sosio-ekonomi-politik semasa.

Namun, apakah yang dapat saya sumbangkan sebagai seorang pemerhati, pengguna dan pensyarah sambilan pengajian media?

Yang pasti, menjadi guru 'mercenary' atau 'soldier of fortune' di salah sebuah negara Teluk bukan opsyen yang memuaskan walaupun gajinya lumayan. Syukur alhamdulillah, setelah lebih tujuh bulan berada di tanah air, saya senang melakukan perkara-perkara yang sebelum ini tidak dapat dilakukan seperti terlibat sebagai sukarelawan untuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan atau bukan keuntungan (NGO/NPO), disamping mengajar sambilan dan membuat terjemahan untuk membayar bil-bil TNB, ASTRO, P1, dst.

Pun begitu, salah satu penemuan menarik yang ingin saya kongsikan di sini ialah teori 'Out of Sundaland' yang dikemukakan oleh ahli sains genetik Dr Stephen Oppenheimer (1999) yang menyangkal teori 'Out of Taiwan' anjuran ahli bahasa Peter Bellwood (1984, 1997).

Teori Bellwood yang juga dikenali sebagai teori China Selatan mengandaikan bahawa nenek moyang orang Melayu, Indonesia, Filipino, Hawaii, Polynesia, Madagaskar dan Maori berasal dari China Selatan, melalui Taiwan ke Nusantara dan seterusnya ke Madagaskar dan Pulau Easter kira-kira 5,000 tahun lalu.

Bagaimanapun, penyelidikan genetik mengesan migrasi penduduk yang lebih besar dari Nusantara ke arah tanah besar Asia - China Selatan, Korea, Jepun, India dan Mesopotamia - dan Filipina, Madagaskar, New Guinea, seterusnya menjajah kepulauan Polynesia, Easter, Hawaii dan New Zealand melalui titian tanah atau dengan perahu disebabkan banjir besar kira-kira 10,000 tahun lalu. Jadi tidak hairanlah jika orang asal Taiwan dan Jepun mempunyai ciri-ciri orang Melayu dan orang Champa (Kampuchea) serta Funan (Selatan Vietnam) boleh berbahasa Melayu walaupun belum pernah menjejakkan kaki di Semenanjung Tanah Melayu.

Asal-usul bahasa-bahasa Austronesia (Melayu, Tagalog, Malagasy, dll) dipercayai tumbuh dan berkembang di Sundaland, landasan benua yang meliputi Geting Kra di Utara hingga ke Garisan Wallace di Timur yang memisahkan Bali dari Lombok, Borneo dari Sulawesi, Palawan dari Mindanao dan Luzon.

Revolusi Neolitik - permulaan pertanian menggunakan batu untuk melumatkan bijiran liar - juga dikatakan bermula di sini seawal 24,000 tahun, yakni 10,000 tahun sebelum di Mesir dan Palestin.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila baca:

http://www.newstatesman.com/blogs/paul-rodgers/2008/05/sundaland-spread-taiwan
http://koenraadelst.bharatvani.org/reviews/atlantis.html
http://sahultime.monash.edu.au/fullScreen.html
http://pl.net/~keithr/rfc2001113OriginsEden.html

4 comments:

dotsnodds said...

Kejam celik ke pejam celik. nak celik tak perlu lah kejam. kalau kejam nanti buta

BaitiBadarudin said...

appreciate your sense of humour!

j or ji said...

tulis lah lagi!

BaitiBadarudin said...

InsyaAllah, bila ada ilham.